Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin menjelaskan tentang pintu masuk iblis ke dalam hati manusia, antaranya adalah al-Hirsh dan al-Hasad.
Al-Hirsh ialah cita-cita atau keinginan yang teramat sangat terhadap sesuatu sehingga menjadikannya buta dan tuli. Buta akan kebenaran Tuhannya dan tuli dari bisikan kebenaran Tuhan yang disuarakan dalam hati nuraninya. Perkara yang hak dan batil, halal dan haram, manfaat dan mudaratnya bagi diri sendiri dan orang lain tidak lagi jadi asas pertimbangannya.
Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Jika kamu sudah mencintai sesuatu, maka cintamu kepadanya akan menyebabkan kamu menjadi buta dan tuli.” (al-Hadis)
Al-Hasad ialah sikap atau sifat tidak senang melihat orang lain memperolehi kenikmatan, kebaikan dan kebahagiaan dengan berusaha melakukan kejahatan kepadanya agar kenikmatan itu berpindah kepadanya. Dia tidak suka melihat orang lain berjaya,sedangkan dia sendiri tidak mampu mencapainya.
Ini lah yang akan mengundang penyakit hati yang lain sehingga menyebabkan syaitan dapat berleluasa masuk ke dalam hati seseorang.
Dalam satu riwayat yang dikeluarkan oleh Abu Dawud dalam Sunannya, ketika Nabi Nuh a.s. menaiki perahu, dan dalam perahu itu pelbagai makhluk secara berpasang-pasang, tiba-tiba beliau melihat seorang tua yang tidak dikenali. Orang tua itu tidak memiliki pasangan. Nabi Nuh a.s. bertanya, “Untuk apa kamu di sini?” Orang tua itu menjawab, “Aku masuk ke sini untuk mempengaruhi para sahabatmu supaya hati mereka bersamaku, sedangkan tubuh mereka bersamamu.” Orang tua itu adalah iblis.
Seterusnya Nabi Nuh a.s. berkata “Keluarlah kamu dari sini, wahai musuh Allah! Kamu terkutuk!” Kemudian iblis berkata kepada Nuh, “Ada lima perkara yang dengan kelimanya aku membinasakan manusia. Akan kuberitahu yang tiga dan kusembunyikan yang dua.” Allah mewahyukan kepada Nabi Nuh: “Katakan, aku tidak memerlukan yang tiga. Aku memerlukan yang dua.” Maka Nuh bertanya dua perkara itu kepada iblis. Iblis menjawab, “Dua perkara yang membinasakan manusia itu adalah keinginan yang amat sangat dan dengki. Disebabkan dengki inilah aku dilaknat sehingga terkutuk. Dan disebabkan keinginan yang amat sangat ini pula, Adam dan Hawa tergoda untuk menurut keinginannya.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan