Bismillahirrahmanirrahim..
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Assalamualaikum WHT
Baru-baru ini, saya berhadapan dengan seorang pesakit wanita yang telah dirasuk oleh jin pontianak. Pesakit saya ini adalah pelajar tingkatan lima. Pesakit telah diganggu emosi dan sakit fizikal selama dua tahun. Sering termenung, suka duduk bersendirian dan seringkali bercakap sendirian seolah-olah ada orang lain yang sedang berbual-bual dengannya. Perkara yang merisaukan orang tuanya ialah pesakit ini kerap keluar rumah sendirian pada waktu tengah malam.
Ketika duduk berhadapan, saya membaca sepotong ayat al Quran dengan suara yang agak kuat berulangkali. Serta merta pesakit tersebut termuntah dan menjerit sekuat hati meminta saya memberhentikan bacaan.Saya tidak menghiraukan permintaan jin tersebut, terus membaca ayat tersebut. Ahli keluarga yang datang turut membantu memegang tubuh pesakit yang bertindak agresif. Saya menawarkan dua pilihan sahaja kepada jin tersebut iaitu keluar segera dari tubuh pesakit atau saya terus membaca ayat al Quran tersebut dan berdoa kepada Allah taala agar menyempitkan laluannya dalam tubuh pesakit.
Syukur Alhamdulillah, tidak lama kemudian jin pengganggu mula mengalah, rasa terseksa dan menyuarakan keinginannya untuk keluar daripada badan pesakit dan berjanji untuk tidak mengganggu pesakit selama-lamanya. Inilah ayat al Quran yang biasa saya baca ketika berhadapan dengan pesakit sebelum meruqyahnya.
124. "Dan sesiapa Yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka Sesungguhnya adalah baginya kehidupan Yang sempit, dan Kami akan himpunkan Dia pada hari kiamat Dalam keadaan buta".
(Surah Taha: Ayat 124)
Segala kepujian dan kelebihan itu hanyalah bagi Allah taala. Syukur ke hadrat ilahi, kerana mempermudahkan urusan rawatan pada hari tersebut. Semoga kita semua sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah kerana sentiasa mengingatiNya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan